Parti Durian Di Singapura Hujung Bulan Ini

. Sabtu, 15 Februari 2014

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan parti durian di Singapura penghujung bulan ini, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) kementerian, Datuk Raihan Sharif.

Beliau berkata ini kerana ramai pelancong dari China yang datang ke republik itu untuk mencari durian jenis ‘Musang King’.

“Masa kita ke Singapura bulan lepas, kita lihat ramai pelancong dari China yang mencari Musang King kerana mereka ingat durian ditinjauankan di Singapura,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran ‘Jom Makan Buah Putrajaya 2013′ di Laman 1Malaysia di sini hari ini.

Majlis yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini dilancarkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Raihan berkata semasa acara itu, durian akan dijual oleh rakyat Malaysia sendiri dan ini sekaligus mengubah persepsi penggemar durian dari luar negara mengenai negara pengeluar durian terbesar dunia.

Beliau berkata selain acara tersebut, kementerian juga telah diarahkan untuk menganjurkan agro bazar buah-buahan tempatan di luar negara selewat-lewatnya Jun tahun hadapan.

Sementara itu dalam usaha memastikan buah-buahan tempatan cukup bekalan untuk pasaran dalam dan luar negara, kementerian akan memulakan proses tanaman semula buah-buahan di seluruh negara bermula tahun hadapan.

“Buat permulaan kita akan menanam semula durian, pokok durian yang sudah tiada nilai kita tanam semula atau cantum dengan baka yang bagus macam Musang King.

“Jadi dalam masa tiga atau empat tahun, kita mempunyai bekalan yang cukup untuk di pasarkan di dalam serta luar negara,” katanya. – BERNAMA

0 komentar: