250 000 Tiket Percuma Untuk Rakyat Filipina

. Sabtu, 01 Februari 2014

KUALA LUMPUR – AirAsia menganjurkan kempen kutipan derma dan bantuan ‘To Philippines with Love’ (#toPHwithlove) bagi membantu rakyat negara itu yang terjejas akibat Taufan Haiyan baru-baru ini.

AirAsia dalam satu kenyataan media berkata, kempen itu merangkumi kutipan derma dalam pesawat dan di lapangan terbang serta bantuan dalam bentuk ruang kargo dan tiket penerbangan percuma.

“Ruang kargo dan tiket penerbangan percuma ini diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO), agensi bantuan dan kemanusiaan serta 250,000 tempat duduk percuma bagi rakyat Filipina untuk pulang ke kampung halaman.

“Orang awam boleh juga memberi bantuan dengan membuat sumbangan secara `online’ melalui laman mikro AirAsia Foundation www.airasiafoundation.com/typhoonhaiyan. Kempen akan berlangsung hingga 31 Disember 2013 dan semua sumbangan disalurkan ke Palang Merah Philippines,” kata kenyataan itu hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Esekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam kenyataan sama menerangkan, syarikat itu amat prihatin terhadap kesemua mangsa tragedi bencana alam tersebut dan berharap dapat mengumpul dana yang banyak untuk membantu rakyat Filipina.

Malah, katanya, beberapa pekerja AirAsia dan ahli keluarga mereka di Filipina turut terjejas berikutan kejadian itu maka syarikat tersebut akan berusaha membantu kesemua mereka melalui masa-masa sukar berkenaan.

Beliau dalam pada itu menerangkan tiket penerbangan percuma dalam kempen tersebut boleh ditempah di www.airasia.com dari 13 hingga 24 November 2013.

“Sesiapa yang memegang passport Filipina yang sah atau nombor pengenalan boleh menempah tempat duduk percuma ini yang akan dioperasi oleh penerbangan AirAsia Zest,” katanya.

Menurutnya, ruang kargo percuma pula bagi proses penghantaran barang-barang bantuan oleh mana-mana NGO, kumpulan sivik, agensi bantuan kemanusian dan boleh menghantar pertanyaan kepada foundation@airasia.com.

“Proses penghantaran dan syarat-syarat kargo akan diberikan selepas proses penilaian dijalankan,” jelas beliau.

Orang awam diminta melayari laman Facebook AirAsia di alamat (www.facebook.com/AirAsia dan Twitter di alamat www.twitter.com/AirAsia) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kempen itu.

0 komentar: