Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini membuat penjelasan berhubung pelantikan saudara mara beberapa ahli exco kerajaan negeri dalam pentadbirannya.

Exco berkenaan ialah Chong Eng (ADUN Bukit Mertajam), Lim Hock Seng (Bagan Jermal) dan Abdul Malik Abul Kassim (Batu Maung).

NONE
Penjelasan Lim itu dibuat ketika tercetuskan kritikan nepotisme-kronisme terhadap Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang melantik anak lelakinya, Nedim, sebagai pegawai khasnya.

Nazri mempertahankan keputusannya melantik anaknya itu dengan berkata Nedim berkhidmat sebagai "budak pejabat" di kawasan pilihan rayanya untuk mendekati generasi muda.

Bercakap selepas melawat kawasan mendap di depan Menara Umno di Jalan Macalister hari ini, Lim berkata pihaknya telah menyelesaikan perkara itu dengan membuat pendirian selepas pilihan raya umum pada 5 Mei lalu, bahawa exco kerajaan negeri tidak dibenarkan melantik secara terus anak-anak atau anggota keluarga terdekat.

Beliau mengesahkan bahawa anak lelaki Chong Eng telah membantu ibunya tetapi sebagai sukarelawan. Bagaimanapun, dia tidak dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

Abdul Malik berkata, adik perempuannya telah bekerja dengan beliau di pejabatnya sejak tahun 2008 tetapi demi mematuhi keputusan 5 Mei itu, dia telah meletakkan jawatan bulan ini.

Hock Seng juga mengesahkan bahawa abangnya telah membantunya sewaktu pilihan raya lalu tetapi tidak lagi sekarang.

Sementara itu, Lim meminta ahli exco supaya memeriksa sama ada terdapat saudara mara mereka yang bekerja dan dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata tiada masalah jika saudara mara (anak-anak atau ahli keluarga) ahli exco telah melalui temuduga yang betul dan diupah oleh orang lain.

Menurut Lim, tiada salah untuk membantu keluarga selagi gajinya tidak dibayar oleh kerajaan.Malaysiakini