Asri keterlaluan samakan ulama Pas dengan Ayatollah

. Senin, 23 Desember 2013
Wartawan Sinar Harian
26 Oktober 2012
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SHAH ALAM - Ketua Penerangan Ulama Pas, Nik Muhammad Zawawi Salleh menyifatkan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin "agak keterlaluan" dalam menyamakan ulama-ulama parti itu dengan kepimpinan Ayatullah Khomeini dari Iran, yang didakwa tidak boleh ditegur.

"Bekas mufti itu juga agak keterlaluan apabila menyamakan pimpinan ulama dalam Pas dengan Ayatullah Khomeini.
"Semua sedia maklum bahawa Pas berpegang kepada aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Ayatullah Khomeini pula berpegang kepada aqidah Syiah.
"Dua akidah yang sangat berbeza antara satu sama lain," kata beliau dalam satu tulisan dibawa organ Pas, Harakahdaily.
Katanya, pengikut Syiah menganggap bahawa Ayatollah adalah lebih tinggi martabatnya daripada para Nabi.

"Jadi tidak peliklah Ayatollah tidak boleh ditegur dan disentuh," kata beliau yang juga Ketua Penerangan Pas Terengganu.
Ketika muncul pada program Wacana Sinar Harian ke-15 Selasa lalu, Asri berkata, Pas tidak seharusnya menjadi seperti pemerintahan Ayatollah di Iran sekiranya berjaya memerintah Putrajaya kelak.
Asri, bekas Mufti Perlis berkata, kalau ada yang bermentaliti bahawa orang agama yang berkuasa tidak boleh ditegur, negara akan menjadi lebih korup dari sekarang.

“Saya rasa ini satu masalah dalam Pas, masalah sekarang ini Pas belum menjadi pemerintah, tetapi kalau kita tidak bahas hari ini, kita akan jadi seperti Iran, yang mana pemimpinnya Ayatollah tidak boleh ditegur dan disentuh.

“Kalau kita tidak hati-hati terutamanya parti politik termasuk Pas... kalau mereka naik (menjadi pemerintah) dengan mentaliti orang agama tidak boleh disentuh, ditambah dengan isu pemimpin dan tokoh agama itu ada kuasa pula, kita akan menghadapi negara yang lebih  korup daripada apa yang berlaku sekarang,” katanya ketika menjawab soalan dari moderator Dr Mazlee Malik berhubung sejauh  mana beliau melihat pemimpin ulama Pas yang tidak boleh ditegur.

Menjawab pandangan Asri itu, dua Naib Presiden Pas kelmarin menjawab bahawa pihaknya memberi jaminan tidak akan sama sekali akan menjadi pemimpin-pemimpin bergelaran Ayatollah Iran jika diberi mandat memerintah Kerajaan Pusat kelak kerana parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu sentiasa mengamalkan sikap terbuka kepada semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

Nik Muhammad berkata, soalan yang dikemukakan oleh moderator dalam Wacana Sinar Harian siri ke-15 berhubung dengan pemimpin ulama Pas yang tidak boleh ditegur dan jawapan yang diberikan oleh seorang bekas mufti terhadap soalan tersebut adalah sangat tidak adil kepada Pas.

"Bekas mufti itu ketika menjawab persoalan tersebut berkata bahawa jika Pas menjadi pemerintah dengan mentaliti orang agama tidak boleh disentuh, negara akan menjadi lebih korup daripada apa yang berlaku sekarang.
"Beliau menyamakan situasi itu dengan pemerintahan Ayatollah Khomeini di Iran yang tidak boleh ditegur dan disentuh," jelas beliau.
seterusnya disini



0 komentar: